“Selama di sana saya dilayan dengan baik dan apabila tiba saat untuk pulang pada 14 Ogos tahun lalu, seorang wanita yang mendakwa wakil syarikat itu yang menemani saya menyerahkan sebuah beg kecil sebagai sagu hati tanpa diketahui isinya.
“Ketika di lapangan terbang kira-kira jam 10 malam selepas melalui pemeriksaan pengimbasan, saya ditahan pegawai imigresen negara itu,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini, semalam.
Nur Dhiya berkata, sebaik ditahan, dia hanya berdoa kerana tidak mengetahui motif rakan baiknya serta wakil syarikat pelancongan itu berbuat demikian dan hanya mengetahui dirinya dikhianati selepas dipenjara.
“Saya sungguh insaf dengan pengalaman ini kerana pertama kali berjauhan dengan ibu, ayah dan adik-beradik. Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini.
“Saya menasihatkan remaja supaya berhati-hati dengan rakan sendiri dan orang yang baru dikenali kerana kebanyakan mereka mempunyai muslihat,” katanya yang dibebaskan daripada penjara selepas Mahkamah Tinggi Cape Town memutuskan dia tidak bersalah dalam kes pengedaran dadah.
Menurutnya, walaupun dilayan dengan baik, pengalaman tinggal dalam penjara bersama tahanan warga Afrika amat menginsafkan kerana mereka sering bergaduh menyebabkan dirinya tertekan selain berjauhan orang tersayang.
Harian Metro pada 15 Ogos tahun lalu melaporkan Nur Dhiya ditahan di lapangan terbang Cape Town selepas dikesan membawa 1.2 kilogram syabu dan ditempatkan di sebuah pusat tahanan.
Sementara itu, ibu dan bapanya, Roslah Abd Jani, 44, dan A C Musa Abu Chik, 43, bersyukur kerana mimpi ngeri keluarganya berakhir apabila Nur Dhiya atau lebih dikenali sebagai Baby dibebaskan dan kini kembali ke pangkuan keluarga.
GAMBAR HIASAN
PAUTAN:hmetro.