JEMPOL 26 Jan. - Seorang isteri, Nor Zihan Mustafa, 48, merayu orang ramai agar dapat membantu mengubati penyakit suaminya yang kini lumpuh dan menghidap radang saraf selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Katanya, penyakit suaminya, Zamzuriee Ismail, 48, semakin serius apabila baru-baru ini doktor mengesahkan dia menghidap penyakit batu karang.
"Saya berharap pengamal perubatan, sama ada tradisional dan moden dapat tampil membantu meringankan penderitaan suami saya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di Taman Bahau, dekat sini baru-baru ini.
Menurut Nor Zihan, suaminya itu lumpuh selepas terlibat dengan satu kemalangan jalan raya, kira-kira tiga tahun lalu dan sejak itu dia tidak mampu menggerakkan kedua-dua kakinya dan hanya terlantar di atas katil.
"Semua kerjanya kini, kami anak-beranak yang menguruskannya. Sekarang buah pinggangnya pula rosak dan satu daripadanya ada batu karang," ujarnya.
Nor Zihan mendakwa, sudah tiga tahun dia berulang-alik ke hospital dan tidak ada sebarang perubahan mahupun tanda yang suaminya berjalan semula.
"Doktor memberi jaminan yang suami saya sembuh, tetapi nampaknya dia semakin menderita dan bertambah pula penyakitnya," katanya.
Dia yang bergilir-gilir menjaga Zamzuriee bersama lima anak mereka berkata, ada ketikanya dia sedih apabila melihat wajah suaminya yang kecewa dengan keadaannya itu.
Nor Zihan memberitahu, biasanya dia membawa suaminya mendapatkan rawatan di beberapa hospital termasuk Hospital Kuala Lumpur dengan menyewa kereta dengan membabitkan kos sekitar RM300.
"Kos ini termasuk makan dan minum, mengangkat suami, minyak kereta, sewa dan sebagainya," katanya.
Dalam pada itu, Zamzuriee yang merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Pegawai Waran II, mengharapkan ada insan yang dapat memulihkan kakinya yang lumpuh itu.
"Saya yakin, suatu hari nanti saya boleh berjalan semula dan menjalani kehidupan normal serta membantu isteri saya yang selama ini menjaga saya dengan baik.
"Saya tidak sanggup lagi melihat isteri saya melakukan semua kerja, membantu pelajaran anak-anak, menjaga saya, membeli keperluan dapur dan sebagainya," katanya.
Sehubungan itu, Nor Zihan merayu orang ramai yang boleh membantu menyembuhkan suaminya itu untuk menghubunginya di talian 012-6903904.
Beliau merupakan teman seperjuangan blogger semasa berkhidmat di TLDM awal 80an.
PETIKAN DARI UTUSAN ONLINE 31/1/11
No comments:
Post a Comment